Tuesday, October 5, 2010

Cambodia/Vietnam : Ogos 2010..

Menjejak Sejarah, Menjalin Ukhwah @ Cambodia & Vietnam merupakan program Internationalization yang julung-julung sekali diadakan bagi sekolah Sains Maklumat dan Kejuruteraan pada 4-7 Ogos, 2010 yang lalu. Program ini disertai oleh 8 orang pelajar dari program DTM, DTMM, DRG dan SSK serta 4 orang pensyarah iaitu Puan Siti Hanim, Pn Juliana, Cik Zamida dan Cik Zurina. Dua buah bandar dari 2 buah negara yang dipilih pada lawatan kali ini ialah Phnom Penh, Cambodia dan Chao Doc, Vietnam.

Program selama 4 hari 3 malam ini berbentuk program kemasyarakatan(community service) iaitu para peserta membawa sedikit sumbangan iaitu berbentuk sumbangan kenduri (1 ekor lembu), barangan berupa AlQuran, muqaddam, sejadah dan kitab surah yasin dan sumbangan wang tunai bagi wakaf perigi. Sumbangan-sumbangan ini ditaja oleh individu, pihak NovaLab Sdn Bhd dan Kolej PTPL Shah Alam sendiri yang dikumpulkan seawal bulan Januari lagi. Sumbangan yang dibawa diserahkan kepada Mufti Cambodia iaitu Tuan Haji Kamaruudin Yusof @ Okhna Haji Kamaruddin Yusof.
Selain daripada itu para peserta berpeluang merasai suasana kenduri dan permainan sukaneka anak-anak penduduk Melayu Cham yang diadakan di Kampung Cham, Chao Doc, Vietnam.

Berikut adalah antara ringkasan aktiviti yang dilangsungkan sepanjang lawatan ke sana.

Hari 1 (4/8/2010) - Rabu
Para peserta berkumpul seawal jam 10.00 pagi di Kolej PTPL Shah Alam, untuk bersama-sama ke LCCT. Tiba di LCCT pada jam 12.40 tgh dan terus ke kaunter daftar masuk untuk bagi penerbangan pada jam 2.50 ptg. Alhamdulillah setiap urusan daftar masuk berjalan lancar dan tiba di Lapangan Terbang Phnom Penh pada sekitar jam 4.30 ptg. En Rasat selaku tour guide dan wakil dari Al Ameen Serve Holding iaitu agensi yang mengurus lawatan ini telah sedia menunggu. Peserta dibawa untuk check in di Hotel Mekong Palace iaitu sebuah hotel yang mengadap Sungai Mekong, sungai yang ke 10 terpanjang di dunia yang merentasi negara China, Myammar, Laos, Kemboja, Vietnam dan Thailand. Setelah siap check in, peserta dibawa menikmati makan malam dan melawat sekitar bandar Phnom Penh. Peserta kemudiannya dibawa ke Pusat Islam Cambodia untuk bertemu dengan Mufti Cambodia bagi menyampaikan sumbangan yang telah dibawa. Tuan Haji Kamaruddin memberikan sedikit penerangan tentang sejarah Melayu Champa dan sejarah kekejaman rejim Pol Pot. Wakil dari pihak PTPL iaitu saudara Ismail bin Ahmad Hamdan turut menyampaikan ucapan penghargaan dan salam ukhwah. Selesai sesi penyerahan sumbangan para peserta pulang ke hotel untuk berehat.

Hari 2 (5/8/2010) – Khamis
Hari kedua dimulakan seawal 7.00 pagi apabila para peserta dibawa untuk menikmati saparan dan terus check out dari hotel Mekong Palace untuk bertolak ke Kampung Cham, Chao Doc, Vietnam menaiki van dengan diiringi oleh 2 orang pemandu pelancong iaitu En Rasat dan Cik Azizah. Perjalanan mengambil masa 4 jam melalui jalanraya yang agak sibuk dan kecil(2 lane) iaitu boleh dipanggil sebagai jalan persekutuan kalau di Malaysia, dan melalui 2 check point di sempadan Cambodia, Vietnam. Para peserta sampai di bandar Chao Doc dan check in di hotel Trung Nguyen.
Kemudian dibawa menaiki bot ke perkampungan Melayu Cham dan turut serta menikmati kenduri serta sukaneka bersama anak-anak kampung tersebut. Program tersebut turut dihadiri oleh wakil dari kerajaan Vietnam, Ketua Kampung, wakil dari Bahagian Sekolah, dan penguasa tempatan. Di akhir program, sesi berbalas cenderamata diadakan dimana cenderamata yang dibawa diserahkan kepada 80 orang kanak-kanak kampung Cham. Peserta kemudiannya balik ke hotel untuk berehat sekitar jam 6.30 ptg. Pada sebelah malamnya, peserta kemudiannya dibawa menikmati makan malam di atas bot. Ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana untuk tiba ke restoran atas bot berkenaan, para peserta dibawa menaiki sejenis basikal roda tiga dan restoran bot berkenaan bergerak di sekitar Sungai Mekong dari mula hinggalah tamat masa makan serta dilengkapi dengan karaoke. so sakan jugaklah para pelajar berkaraoke. apatah lagi bila beberapa orang pelancong asing pun join sekali!..

Hari ke 3 (6/8/2010) : Jumaat
Hari ketiga dimulakan dengan menikmati sarapan pagi iaitu mee sup vegetarian. Kemudian bergegas untuk check out dari hotel dan menuju ke perkampungan nelayan bagi menyaksikan bagaimana ikan diternak di dalam sangkar. Penternakan ikan di dalam sangkar ini diusahakan secara komersial oleh penduduk di sekitar sungai Mekong dan mereka juga turut menghasilkan sendiri makanan ikan menggunakan campuran antah padi dan kangkung. Kami kemudiannya dibawa melawat perkampungan melayu Cham yang menjual barangan kraf buatan sendiri. Perjalanan diteruskan dengan menaiki bot untuk pulang ke Phnom Penh melalui jalan air. Pengalaman menarik yang mengambil masa dari jam 9 pagi dan sampai di Phnom Penh pada jam 3.30 petang (6 jam). Di sepanjang perjalanan, para peserta mengambil kesempatan untuk menikmati keindahahan pemandangan dan melihat keadaaan rumah-rumah yang ada di tepi sungai tersebut. Dan sekali lagi 2 kali proses check in/out di sempadan Cambodia/Vietnam terpaksa dilalui yang dilakukan di atas pelantar dan ditebing sungai Mekong. Setiba di Phnom Penh, kami sekali lagi mendaftar masuk ke hotel Mekong Palace dan kemudiannya dibawa membeli belah di Pasar Central atau dikenali dengan Rsa Market. Pada sebelah malamnya kami dibawa untuk makan malam dengan hidangan tomyam versi Cambodia yang sangat enak dan sesi urut menghilang lenguh dan letih kaki tangan turut diambil oleh beberapa orang peserta. Yang nyata, tidur kami pada malam tersebut amat lena sekali dek kerana keletihan.

Hari ke 4 (7/8/2010) : Sabtu
Aktiviti dimulakan dengan sarapan pagi dan seterusnya kami dibawa ke Muzium Toul Sleng iaitu sebuah sekolah yang telah dijadikan markas tempat penyiksaan semasa rejim Pol Pot memerintah pada tahun 1975 hingga 1979. Muzium ini menyimpan alatan yang digunakan untuk menyiksa tahanan dan bilik-bilik tahanan yang masih lagi mempunyai kesan darah dan peluru. Kepiluan dan keinsafan jelas terbayang pada wajah peserta apabila melihat gambar-gambar mangsa kekejaman rejim Pol Pot ini.
Kami kemudiannya dibawa ke Pasar Tsmey untuk membeli barangan kenangan untuk dibawa pulang. Selesai membeli belah, kami dibawa balik ke hotel untuk check out dan kemudiaanya menikmati makan tengahari di restoran Cik Azizah dan bertolak ke lapangan terbang pada jam 2.00 petang. Urusan check in di airport berjalan lancar dan kami kemudiaannya berlepas pada jam 5.00 ptg dan sampai di LCCT sekitar jam 7.30 malam.

gambar-gambar akan menyusul kemudian..hihihii..panjang cerita kami ni..

No comments: